
PUTRAJAYA, 12 September – Bermula 1 Disember 2025, kerajaan akan memperkenalkan program tenaga solar bumbung baharu dikenali sebagai Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP). Inisiatif ini dibangunkan sebagai kesinambungan kepada skim Net Energy Metering (NEM) yang telah berakhir pada Jun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), pelaksanaan Solar ATAP akan terus memberi ruang kepada rakyat untuk menjana tenaga boleh baharu (TBB) melalui penggunaan bumbung bangunan, selari dengan matlamat memperluas tenaga hijau di negara ini.
“Walaupun konsep asas NEM dikekalkan, iainya membolehkan lebihan tenaga solar disalurkan kembali ke grid sebagai offset. Program Solar ATAP ini hadir dengan ciri tambahan yang lebih kompetitif berbanding Program Solar for Self-consumption (SelCo).
Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah kadar offset tenaga yang akan ditetapkan mengikut harga pasaran elektrik semasa melalui sistem marginal price (SMP) sepertimana mekanisme yang digunakan dalam skim NEM NOVA sebelum ini.
Selain itu, pengguna juga kini dibenarkan memasang sistem solar sehingga 100% daripada keperluan maksimum tenaga mereka, sekali gus membolehkan penggunaan tenaga solar dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sekatan kapasiti.
PETRA turut memaklumkan bahawa garis panduan dan sistem pendaftaran bagi pelaksanaan Solar ATAP akan tersedia melalui laman web rasmi Suruhanjaya Tenaga dan SEDA Malaysia bermula 1 Disember 2025.
Kerajaan optimis bahawa pengenalan Solar ATAP akan mengukuhkan pembangunan sistem penjanaan tenaga secara teragih serta menyumbang kepada pencapaian sasaran negara untuk mencapai 70% kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik menjelang tahun 2050, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI